Perjuangan

Perjuangan anak penoreh getah iaitu Mejar Dato’ Haji Adnan bin Hashim (Bersara) untuk memanfaatkan sebidang tanah seluas 7.5 ekar peninggalan arwah bapanya Hashim bin Mohammad ke jalan Allah telah bemula sejak tahun 1997 iaitu selepas beliau berhenti daripada perkhidmatan tentera yang diminatinya dan menceburkan diri di dalam bidang bisnes.

Selepas 8 tahun bekerja dengan beberapa syarikat akhirnya pada tahun 2005 beliau telah mengambil keputusan memulakan bisnes sendiri dengan menubuhkan syarikat CT-ONE (gabungan nama dua anak perempuannya Siti Syazwani dan Siti Syazana serta anak bongsunya Mohamad Syazwan).

Perniagaan kumpulan CT-ONE yang mendapat sokongan padu isterinya Datin Hajjah Azizah bt Ibrahim serta doa berterusan bonda Dato’ Hj Adnan dan tiga orang anak-anak kesayangannya, dengan kehendak Allah swt telah maju dan berjaya. Dengan keuntungan perniagaan Kumpulan CT-ONE, maka pada tahun 2012 siaplah pembinaan Fasa I Kompleks CIC di Kampong Tualang, Kuala Krai, Kelantan yang menelan belanja sekitar RM6 Juta ini.

Perjuangan pasangan suami isteri ini benar-benar bermula apabila pada Jan 2013 telah mengambil seramai 47 orang anak angkat menyertai Pakej Pendidikan Tahfiz secara percuma di salah satu cabang pendidikan CIC yang dinamakan MAAHAD TAHFIZ AL-HASHIMI (M-TAH). Kesemua pelajar ini dirancang belajar di M-TAH untuk tempoh minima 5 tahun dengan sasaran Hafiz dalam masa 3 tahun dan mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ke-5. Pelajar-pelajar juga akan diajar bahasa-bahasa tambahan dan ilmu perniagaan/ keusahawanan sesuai dengan Misi CIC untuk ‘Bersama Membina Generasi Al-Falah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.